Wednesday 3 August 2011

Dua sahabat maut pada hari pertama Ramadan

Sumber berita dari harian Metro
pix_middle.jpg

SEGAMAT: Dua sahabat maut pada hari pertama Ramadan dengan seorang daripadanya terbunuh di tempat kejadian manakala rakannya maut selepas hampir lima jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di persimpangan Kampung Jawa petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, penunggang motosikal, Mohd Shadan Mohd Adam, 20, maut selepas lima jam dirawat di ICU Hospital Segamat akibat cedera parah di kepala dan badan manakala rakannya yang membonceng, Mohd Saiful Suhadi, 24, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat cedera parah di seluruh anggota badan.


Menurut sumber polis, motosikal Yamaha RD 250 yang ditunggang Mohd Shadan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan Proton Gen.2 dari arah Felda Medoi menuju ke bandar ini tidak dapat mengelak lalu bergesel dengan motosikal ditunggang mereka.

Katanya, akibat rempuhan itu dua sahabat berkenaan cedera parah dengan Mohd Saiful meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Shadan dikejarkan ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Mohd Shadan yang cedera parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam tadi (semalam). Jenazah dua sahabat dari Kampung Jawa di sini dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mereka yang melihat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
AL-FATIHAH buat kedua-dua Arwah semuga rohnyanya di cucuri rahmat.

1 comment: