Thursday, 14 July 2011

Ulang-alik Pahang ke KL

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle
PERTAMA kali bersua muka dengan wanita kecil molek ini, memang tidak menyangka sama sekali dia mempunyai minat menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Rasa-rasanya jika difikirkan bentuk fizikal motosikal berkuasa tinggi berkenaan lebih besar daripada tuan empunya diri, pasti sukar untuk mengendalikannya tetapi ternyata bagi Dayang Hasmira Ramli, 34, ia tidak sesukar mana.
   
  • Foto TELITI...Dayang Hasmira perlu mengetahui selok-belok kenderaan.
  • Foto PANTAU...Dayang Hasmira turut memantau perjalanan bengkel kenderaannya.
  • Foto MINAT...berkonvoi untuk melakukan kebajikan.
  • Foto DAYANG HASMIRA...minat tunggang motosikal berkuasa tinggi.
Berperwatakan ceria dan sentiasa murah dengan senyuman, Dayang Hasmira sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi dugaan dan cabaran mendatang.

Bercerita mengenai pengalamannya menunggang motosikal berkuasa tinggi, Dayang Hasmira berkata, semuanya bermula selepas terpengaruh dengan minat abangnya yang menjadi orang kuat dalam dunia permotoran.


Walaupun baru lima tahun terbabit dalam dunia permotoran ini tetapi ternyata banyak yang boleh dipelajarinya melalui aktiviti itu.

Katanya, di sinilah dia mula melihat kehidupan dari sudut berbeza dan berasa cukup bertuah kerana dianugerahkan keupayaan untuk membantu mereka memerlukan dengan cara tersendiri.

“Saya berbesar hati kerana berpeluang mengenali mereka yang sudi menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Memang kami jarang menghebahkan bantuan atau sumbangan yang diberi kerana kami bukan mahu mencari nama.

“Bagi saya tidak perlu heboh apabila melakukan kerja kebajikan. Apa yang penting saya rasa puas dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di Danau Kota, Setapak, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi memastikan mereka yang menyertai aktiviti permotoran itu memperoleh manfaat sewajarnya dan bukan hanya untuk suka-suka.

Dayang Hasmira berkata, setiap tahun mereka akan mengadakan program berkonvoi beramai-ramai dengan memasuki perkampungan di kawasan pedalaman di Pahang untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Biasanya program seperti ini diadakan seminggu sebelum umat Islam berpuasa dan di sana nanti, kami akan me�nyerahkan pelbagai barangan keperluan kepada kumpulan yang sudah dikenal pasti benar-benar memerlukan bantuan.

“Setiap kali melihat senyum dan wajah ceria mereka, saya rasa terharu. Ia menandakan mereka amat menghargai usaha kami walaupun bantuan yang kami berikan kecil saja,” katanya.

Lebih menarik, segala keperluan yang diberikan kepada golongan kurang mampu di kawasan itu sama ada dalam bentuk makanan ataupun duit raya diperoleh hasil sumbangan ahli sendiri.

“Kami mengumpul dana me�ngikut kemampuan diri dan jika ada yang tidak mencukupi, ahli kelab akan cuba menambah keperluan berkenaan sekadar termampu.

“Malah maklumat berkaitan penerima juga kami kumpulkan sendiri dan membuat pemilihan terlebih dulu dengan bantuan masyarakat setempat,” katanya.

Di samping itu, anak jati Pahang ini juga banyak menghabiskan masanya berulang-alik dari Pahang ke Kuala lumpur disebabkan urusan kerja kerana selain memiliki pusat kecantikan, dia turut mengusahakan bengkel kenderaan di kampung halamannya.

Biasanya perjalanan ulang-alik ini memakan masa dan amat memenatkan tetapi ia adalah harga yang perlu dibayar atas desakan kerja.

“Saya pernah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pahang dan balik ke Kuala Lumpur semula dalam masa sehari kerana kedua-dua tempat memerlukan pemantauan segera. Memang ada pekerja yang membantu menguruskan perniagaan tetapi sebagai pemilik, kita perlu me�ngambil tindakan pantas dalam keadaan tertentu.

“Kalau sudah minat, penat macam mana pun kita akan gagahkan juga untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini tidak pernah mengang�gap kesusahan itu sebagai satu halangan, sebaliknya ia dijadikan pembakar sema�ngat untuk bertahan dan terus berjaya.

Tidak dinafikan, katanya, cabaran dan dugaan yang dihadapi cukup banyak dan ia adalah asam garam dunia perniagaan dan sesiapa saja yang menceburi bidang ini perlu menghadapinya dengan tenang dan bertindak bijak.

“Sekali mencuba dan tidak berjaya bukan bermakna akan gagal untuk selamanya. Ia sebenarnya langkah awal yang menandakan kita perlu bangkit dan mencuba lagi. Kalau kita rajin berusaha, insya-Allah, kejayaan akan jadi milik kita.

“Apa yang penting, kita perlu tetapkan tekad dan pastikan apa yang dilakukan bersesuaian dengan minat. Biasanya jika kita lakukan perkara yang diminati, kita akan berusaha lebih gigih dan akan rasa puas apabila apa yang diusahakan membuahkan hasil,” katanya.

Dayang Hasmira berkata, kesibukan mengendalikan perniagaan ada kalanya membuatkan dia tidak menang tangan hingga menyebab�kannya terlupa untuk memanjakan diri sendiri.

Dia merasakan masa 24 jam sehari seperti terlalu suntuk kerana semuanya diperuntukkan untuk kerja - memastikan perniagaan berjalan lancar, mencari idea baru bagi mengembangkan perniagaan serta menguruskan anak-anak dan keluarga.

“Ada masa saya sangat letih dan apabila mula berasa lemah semangat, saya cepat-cepat sedarkan diri sendiri. Tidak boleh layan perasaan negatif begitu.

“Berulang kali saya katakan pada diri sendiri - perlu berusaha lebih gigih supaya saya boleh menjadi contoh yang baik pada anak-anak. Malah saya sentiasa ingatkan diri sendiri supaya pencapaian akan bertambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setiap perkara yang dilaksanakan perlulah diseimbangkan dengan kemampuan kerana jika tidak, ia tidak akan berhasil. Jika melihat seseorang itu maju dan kita turut sama ingin melakukannya tetapi dengan tiada sebarang kepakaran, sudah pasti ia tidak akan menjadi.

“Saya memang seorang yang gila kerja dan akan memastikan apa yang dilakukan membuahkan hasil sungguhpun sukar. Paling penting, apa yang dilakukan mengikut kemampuan dan kepandaian diri dan jangan sesekali cuba melakukan sesuatu di luar keupayaan kerana ia boleh memburukkan keadaan,” katanya.
dipitik dari myMETRO 15 JULAI 2011

1 comment: